BRUNEI: Delegasi Kerajaan Sarawak diketuai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengadakan kunjungan hormat ke Brunei hari ini.
Kunjungan hormat itu kepada Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei , Dato Seri Setia Awang Erywan Pehin Datu Pekema Jaya Mohd Yusof di pejabat Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Brunei.
Kunjungan itu untuk membincangkan peluang kerjasama negara itu dan Sarawak bagi meningkatkan aktiviti sosioekonomi yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Antara dibincangkan adalah berkaitan pembangunan Lebuh Raya Pan Borneo dan Lebuh Raya Pesisir Utara, memudahcara pergerakan lintas sempadan dan kesediaan Kerajaan Sarawak membantu mencapai 10 peratus sumber tenaga boleh diperbaharui kepada Brunei.
Mesyuarat itu susulan pertemuan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut disertai delegasi kerajaan Sarawak Februari lalu.
Turut menyertai delegasi adalah Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Setiausaha Kerajaaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Ngumbang.
Sumber dari : Sarawakku